Thursday, November 4, 2010

Berkongsi Cinta


Masuk kali ni dah berapa kali aku berfikir untuk bercerita, tapi segalanya tergendala disebabkan kesibukan dunia.. Hari ini seperti biasa aku berutin berbual bersama kenalan dari Malaysia, menceritakan hal semasa dan kebanyakannya cenderung kepada Dakwah.. Bukanlah nak kata aku ni baik sangat buka bab-bab keagamaan ni, Cuma kebetulan kenalan aku tu menceritakan hal abang iparnya yang keluar Dakwah ke India baru-baru ini..
Jadi cerita itu memasuki dalam hal ehwal pekerjaannya yang mana dia bekerja sebagai seorang Opmist, Pakar Pemeriksa Mata.. Aku saja letak perkataan pakar tu supaya dia lebih tenteram membaca coretan amateurku ini kerana selama ini pun aku asyik menggelarkan dia sebagai doktor tapi dinafikannya.. Kawan-kawan sekerjanya di sana berbagai latarbelakang agama.. Jadi berkesempatan dengan itu, teringat aku kisah daripada e-mail yang dihantar oleh bapa saudaraku yang lebih mesra ku gelar Pak Njang yang mana ianya berkisarkan persahabatan dua sahabat berlainan bangsa dan agama.. Bersahabat dari kecil, mandi sungai bersama ponteng sekolah bersama, kena denda bersama, membesar bersama, senang cerita serba-serbinya bersama tetapi ada satu perkara yang mereka lupa untuk berkongsi bersama… Iaitu berkongsi Cinta.. Sahabat yang berbangsa Cina itu meneruskan pembelajarannya ke luar negara iaitu di Amerika Syarikat, dan dalam tempoh bertahun tidaklah mereka dapat khabar berita antara satu sama lain sebab zaman itu belum ada lagi facebook untuk berhubung.. Boleh jadi juga komputer pada waktu itu sebesar peti ais 5 kaki tinggi..
Tapi yang pastinya, setelah sahabat berbangsa Cina itu balik ke tanah air, rupanya dia telah memeluk agama Islam beberapa tahun dahulu ketika di Amerika Syarikat dan diredhai keluarganya akan keputusannya yang penuh dramatik tu.. Dramatiklah sebab dia kenal agama Islam itu di negara asing yang bukan negara Islam, padahal dia hidup berbelas-belas tahun bersama sahabat karibnya yang berbangsa Melayu ketika di tanah air tapi tidak pernah satu waktu pun dikenalkan dia akan Islam.. Yang paling aku ingat kata-katanya dia kata pada sahabat Melayunya itu, “Kau sanggup biarkan aku masuk neraka”.
Dalam hal ini,  kita juga tidak boleh nak salahkan sahabat Melayu itu kerana kadang-kadang tu kita terlupa akan tanggung jawab kita yang sebenarnya.. Dan aku di sini tergerak untuk memperingatkan diri aku khasnya dan diri saudara-saudaraku yang berbangsa Melayu yang masih lagi menerapkan adab-adab Islam di dalam kehidupan Melayunya itu, yang mana jangan terlalu mementingkan tanggungjawab kita untuk dunia, anak-anak, dan isteri tercinta sehingga lupa akan tanggungjawab kepada jiran dan masyarakat sekeliling kita terutama sekali sahabat-sahabat yang berlainan agama. Ingat, kalau mati mereka itu disebabkan tiada yang meluangkan masa berkongsi dan mengajak mereka kepada Islam, di sana kelak kita akan dipersoalkan malah diheret bersama-sama mereka ke Neraka.. Moga dijauhkan kita daripada itu..
Jadi jangan lupa akan tanggung jawab kita itu, kita ini dilahirkan di dunia ini bukan untuk makan, minum dan beranak pinak aje, kalau untuk itu lebih baik dijadikan kita segerombolan babun yang ceria di hutan. Tapi tugas kita adalah untuk beribadah kepadaNya dan dijadikan kita tergolong didalam Umat Baginda s.a.w yang mana ianya sebaik-baik umat supaya dapat kita membantu didalam menegakkan kebenaran dan membanteras kesesatan. Apa-apa pun berkongsilah dengan penuh hikmah dan mahabbah (rasa cinta), sabda Baginda s.a.w yang bermaksud, “Barangsiapa yang menjadi penyebab terbuka hidayah seseorang manusia adalah lebih baik daripada nikmah-nikmah dunia seluruhnya.” Berdakwah dengan akhlak yang baik lebih berkesan daripada berdakwah dengan lisan. Tunjukkan adab-adab yang baik, memang kita serba kekurangan tapi jangan jadikan kekurangan kita itu menjejas nama baik agama.. Sekarang semua memandang buruk pada Islam, padahal Islam itu sempurna dan indah, ini semua disebabkan perspektif manusia yang memandang kelemahan sebahagian itu sebagai keburukan bagi keseluruhan.. Jangan jadikan nama agama Islam ini tercemar disebabkan kita.. Bersihkan nama baik bangsa dan agama dengan akhlak yang terpuji.. Malulah kita dengan Baginda s.a.w yang bersusah payah menaikkan nama Islam di mata dunia, dengan berlapar yang mengikat perut,dengan kehinaan dan gangguan dari pihak kafir, hampir bergadai nyawa di dalam peperangan  sehinggalah Agama Allah ini diletak di tempat yang tertinggi di persada dunia.. Kita senang-senang je mencemarkannya dgn kurniaan nikmah-nikmah dan kesenangan yang kita kecapi sekarang.. Na’uzubillahi min zalik..
Fikirlah, kita diberi kurnia cahaya matahari untuk mengambil manfaat dunia dan malam sebagai perehatan kita daripada kesibukkannya.. Dijadikan oksigen sebagai sumber kehidupan kita tanpa perlu mengeluarkan duit utk membayar bilnya dan menjadikan pandangan berwarna yang indah ini tanpa perlu risau akan kehabisan dakwatnya seperti Printer HP model buatan Malaysia yang dieksport keserata dunia.. Selain itu, dikurniakan ibubapa sebagai rahmahNya untuk kita diwaktu kecil, dibelai dan dimanja.. Diajar dan diilhamkan ilmu-ilmu kepakaran yang membentuk dan menghasilkan teknologi-teknologi yang memudahkan urusan harian kita dan dapat kita berkongsi bersama.. Apakah masih meragukan untuk kita berkongsi Cinta setelah kita sama-sama merasa nikmah yang dikurniakannya.. Bukankah mereka dapat melihat apa yang kita lihat walaupun berlainan agama, atau dijadikan pandangan mereka hitam putih disebabkan dia bukan beragama Islam??  Tidak sekali-sekali begitu kerana Dia Maha Pemurah, dan berboros di dalam kemurahanNya untuk hamba-hambaNya tanpa melihat latar belakang agama.. Mereka rasa apa yang kita rasa, mereka makan apa yang kita makan, bahkan ada yang lebih mewah dari kemewahan yang dikurniakanNya kepada kita.. Tapi kita semua perlu tahu apa yang ada di dunia ini hanya temporary (sementara), hari ini miskin esok kaya.. tapi di sana (alam akhirat), kalau miskin, miskin selama-lamanya.. kalau kaya, kaya selama-lamanya, tapi macamana pula yang telah ditetapkan namanya kekal didalam Neraka selama-lamanya.. Na’uzubillahi min zalik..
Berkongsilah Cinta pada mereka..

No comments:

Post a Comment