Tuesday, November 9, 2010

Gencatan Senjata


Ini bukan satu versi keganasan mahupun pengganas tapi satu cerita tentang kehidupan yang di luar sana tentang budaya umat Islam yang berpuak-puak baik di dalam politik, agama dan sosial kehidupan. Bukan hak aku untuk bersuara dan bukan kelayakkan aku untuk menegur.. Tapi sekadar menceritakan apa yang aku rasa, tak salahkan, aku kongsikan rasa ini kepada yang sudi membaca..
Istilah keagamaan yang aku belajar dah berbeza daripada apa yang dipraktikan disekelilingku, bukankah Islam itu mementingkan persaudaraan.. Kalau tidak, takkan Sejarah tertulis di dalam Sirah Baginda s.a.w ketika penghijrahan umat Islam ke Madinah, menerap kasih sayang persaudaraan itu lebih utama daripada pembelajaran agama dan syariah.. “Jagalah lidah daripada dosa, dan jagalah tangan daripada noda” adalah bertepatan dengan sabda Baginda s.a.w yang bermaksud, “Muslim itu adalah dia yang mengamankan saudara muslimnya daripada lidahnya dan tangannya.”
Setiap kita mempunyai tujuan dan matlamat yang tertentu tetapi bagi aku tidaklah sampai matlamat yang hendak dicapai itu menghalalkan cara yang bertentangan daripada tuntutan agama.. Walhal matlamat kita semua sama mencapai redhaNya dan meletakkan Agama Islam itu ditempat tertinggi.. Cuma minhaj atau cara perlaksanaan kita berbeza.. Bukankah perbezaan pendapat umat Baginda s.a.w di dalam beragama ini sebagai Rahmah Allah Taala.. Cuba kita lihat contohnya, didalam Hukum Persentuhan antara Lelaki dan Perempuan Bukan Muhrim, di dalam Mazhab Imam As-syafi’e r.a menghukum batal wudhu’ dengan persentuhan tersebut walau tanpa maksud tertentu manakala Mazhab Imam Hanbali r.a menghukum ianya tidak membatalkan wudhu’ jika tidak bermaksud syahwat semata-mata.. Di manakah hikmahNya? Cuba kita lihat jika hukum tentang persentuhan itu satu sahaja iaitu batal wudhu’.. Bukankah akan menyusahkan para jemaah Haji yang berada di Tanah Suci Al-Haram untuk melakukan ibadah haji seperti Tawaf dalam keadaan berhimpit-himpit antara lelaki dan perempuan.. Takkanlah setiap kali tersentuh perlu berwudhu semula yang memakan masa untuk ke tempat wudhu’ dan kembali semula menyambung ibadah tersebut.. Bukankah Agama Allah ini mudah.. Dan Allah Taala suka untuk memudahkan urusan hamba-hambaNYa.. Jadi berdirilah Mazhab Hanbali menjadi pegangan ahli Mekah dan sekitarnya.. Begitu pula jika hukum tersebut menyatakan sebaliknya iaitu tidak membatalkan wudhu’.. Bagi masyarakat Malaysia, jika sesuatu itu tidak ada yang tertegah dengan sesuatu perbuatan itu akan dianggap perbuatan tersebut sebagai sesuatu yang harus.. Dengan bahasa mudahnya, jika sentuhan tersebut dihukum dengan tidak membatal wudhu’ maka terjadi anggap ianya adalah tidak dilarang dan boleh dilakukan hatta bersalaman.. Jadi dengan wujudnya hukum batal wudhu’ bagi Mazhab Syafi’e yang memonopoli feqah mazhab di Malaysia membantu di dalam dalil secara tidak langsung di dalam larangan persentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim yang mana diambil mudah bagi masyarakat kita sekarang ini jika tidak memahaminya..
Itu baru satu contoh perbezaan yang berupa Rahmah daripadaNya, jadi adalah wajib bagi kita menghormati pandangan-pandangan ulama baik dari mana mazhab dan pegangannya sekalipun kerana mereka mempunyai dalil-dalil yang benar bersumberkan Al-Quran dan Sunnah melainkan perkara yang dilakukan itu benar-benar dilarang dengan dalil yang terang dan jelas tanpa perlu bantuan dalil-dalil yang lain mewajibkan kita menegahnya dengan hikmah dan mahabbah.. Agak rumit pemahaman bahasa ini bagi yang tidak berkecimpung dalam ilmu agama secara total.. Tapi maksud mudahnya, kalau perbezaan yang tidak berdosa dilihat pada seseorang jangan cepat melenting, bertanya dengan jalan berhikmah utk penjelasan bukan untuk membetulkan, boleh jadi dia lebih benar dari kita..
Janganlah tanam di dalam diri kita ini kata seperti, “Yang tidak ikut aku, adalah lawan aku”. Mana sunnah yang kita ikut?. Jangan terlalu ananiyyah (bersifat ke’aku’an) di dalam persaudaraan terutama sekali dalam bab agama.. Walaupun mereka itu berbeza, tapi mereka sembahyang, mereka membayar zakat, mereka beriman kepada ALLAH dan Hari Kiamat.. Nak kata mereka kafir dengan sebab kegelinciran aqidah yang terdapat dalam buku2 karangan ulama’2 mereka?.. Kalau mereka kafir siapa yang Islam?.. Aku?? Tak rasa ke bila kita menjawab begitu ananiyyah kita sebesar Iblis laknatullah ketika enggan sujud kepada Nabi Allah Adam a.s.. Kalau mereka kafir macamana syahadah mereka ketika setiap kali solat siang dan malam??.. Tak diterima??.. Siapa sebenar Tuhan yang menentukan?? Kau ke aku??.. Suka-suka je mengkafirkan orang, tak kisahlah dari pihak mana yang penting berstatus muslim dah cukup.. Kita dicipta untuk beribadah kepada Allah, jadi pelajari ilmu untuk beribadah kepadaNYA bukan untuk bertegang leher sesama muslim.. Perselisihan memang tetap akan berlaku dari zaman Baginda s.a.w sehingga di hari yang ditetapkanNya.. Jadi, kita kena bebas dari menghidupkan api permusuhan sesama Islam.. Kau ikut cara kau, aku ikut cara aku.. Yang pastinya kita akan berjumpa di satu destinasi yang serupa.. Cuma kalau ada yang menghalang kau di dalam perjalanan ini aku akan membantu sedaya upayaku dengan penuh kasih dan sayang.. Nak ubah orang?? Diri sendiri pun tak boleh nak berubah.. Esok kita semua akan masuk ke syurga juga..insyaALLAH, jgn terkejut kalau tengok mereka yg berbeza pendapat dgn kita pun masuk syurga.. Seperti terkejutnya Singa Allah, Hamzah r.a apabila melihat Wahsyi r.a (org yang membunuhnya) berada di dalam syurga bersama-sama dengannya di akhirat kelak.. Sebab yang menghukum itu Allah Taala bukannya kau ataupun aku..
Islam yang dahulunya digeruni, sekarang ini dalam keadaan membimbangkan disebab perpecahan dalaman.. Musuh kita yang sebenar-benarnya menertawakan kita, menjadikan kita seperti patung-patung catur yang digerakkan formasinya oleh mereka.. Kita lupa siapa musuh sebenar kita.. Kita rasa kita menegakkan agamaNya tapi padahal membantu musuh-musuh Islam memperbodoh-bodohkan kita.. Bersatulah wahai saudaraku.. bersatulah.. Hormatilah pandangan mereka yang berbeza daripada kita.. Kerana kita adalah bersaudara.. Kita bertuhankan Tuhan yang sama, bernabikan Nabi yang sama, membaca Kitab yang sama, mengadap kiblah yang sama, apalah kiranya kita memiliki Cinta yang sama… Iaitu mencintai sesama kita umat Baginda s.a.w dan memerangi musuh yang sama, iaitu Iblis laknatullah dan kroni-kroninya.. Kita perangi maksiat yang nyata, perangi musuh yang nyata, jangan sekali-kali halakan senjata kita kepada sesama Muslim..
Kita semua ada kelemahan, baik mana pun kita berada.. Kelemahan ni hanya boleh ditutup dengan Perpaduan.. Bersatulah dengan NamaNYA.. Berfirman ALLAH di dalam AL-Quran, ”Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.. Dan ingatlah nikmah Allah kepadakamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuhan, lalu Allah menyatukan hati-hati kamu dan sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara..” Ali ‘Imran : 103

Wallahu a’lam..

No comments:

Post a Comment