Thursday, November 18, 2010

Mekah Memanggil Lagi..



Tanah Suci Mekah ini adalah destinasi yang paling dirindui oleh para karyawan cinta yang mana pengabdian mereka menjadi kemuncak apabila berada dihadapan kesucian Kaabah dan tanah sekitarnya yang mulia. Hujan rahmah dan pandanganNya mencurah-curah di bumi yang barakah ini sehingga menghapuskan lumpur-lumpur dosa yang terdapat pada mereka-mereka yang ikhlas berdiri dan berlari di Tanah Suci ini.. Aku juga antara jutaan pemilik hati-hati yang berkeinginan untuk menjejaki kaki ke negeri kelahiran Baginda s.a.w yang memiliki seribu sejarah yang sangat bermakna di dalam Empayar Islam ini.. Walaupun kini jarak aku dan dia hanya berdindingkan satu sempadan, tapi keinginan aku yang kuat ini tidak mampu menandingi Urusan yang telah ditetapkanNya, Dialah yang berhak memanggil sesiapa sahaja dari kalangan hamba-hambaNya untuk menjadi tetamuNya pada Tahun 1431 hijriah ini.. Tapi, Dia tidak pernah lupa pada yang tidak berkemampuan untuk menziarahi RumahNya Al-Haram.. Dengan RahmahNYA disediakan ganjaran yang sama seperti para-para Haji yang mengerjakan ibadah Haji di Tanah Suci, antaranya:  
1)      Sabda Baginda s.a.w yang bermaksud Barangsiapa yang mengerjakan Solat Subuh kemudian beriktikaf di tempat solatnya sehingga terbit matahari (waktu Isyrak), dan kemudian itu bangun mengerjakan solat dua rakaat, dikurniakan kepadanya pahala seperti dia mengerjakan Haji dan Umrah yang sempurna.. sempurna dan sempurna..
2)       Juga dengan itu, diberi ganjaran yang tidak ternilai kepada hamba-hambaNya yang berpuasa pada HARI ARAFAH iaitu hari ke-9 Zulhijjah dengan mengampuni dosa-dosa mereka untuk setahun yang telah berlalu dan setahun yang akan datang seperti yang diwaridkan di dalam Hadith Baginda s.a.w..
Sepuluh hari awal bulan Zulhijjah ini sangat ditunggu-tunggu bagi Umat Baginda s.a.w yang mencintai dan sentiasa mengabdikan diri kepada Pencipta mereka Yang Maha Esa, kerana pada hari-hari tersebut dicurahkan RahmahNYa yang tidak bertepi itu dan dijadikan hari-hari yang mana amalan yang dilakukan pada sepuluh hari tersebut adalah amalan yang sangat disukai oleh Allah s.w.t dan dikurniakan sesiapa yang berpuasa satu hari daripada hari-hari tersebut menyamai pahala berpuasa penuh setahun, dan sesiapa yang bangun mendirikan Solat Malam pada malam-malam tersebut menyamai pahala mereka yang bangun malam ketika Malam Lailatul Qadr..
Apakah amalan yang terbaik yang patut dilakukan pada hari yang penuh keberkahan dan kerahmatan ini? Jawapannya adalah, “Mengembirakan hati-hati saudara sesama Muslim”, adalah amalan yang terbaik.. Buatlah apa yang kita mampu sama ada menolong dalam menunaikan keperluan saudara kita, menyatukan siraturrahim sesama kita dengan mengenepikan segala perbezaan fahaman, pilitik dan beragama dan berbuatlah baik walau semudah mengukirkan senyuman pada sesama kita.. Bersabda Baginda s.a.w di dalam Hadithnya yang menyuruh kita Memberi Salam kepada sesama kita bagi melahirkan perasaan kasih-sayang antara satu sama lain.. Dan ada ulama’ yang menafsirkan Memberi Salam itu juga bermakna mengamankan saudara kita daripada lidah kita seperti mengumpat, mengeji atau sebagainya dan daripada tangan kita seperti penumpahan darah dan sebagainya..
LabaikALLAHUmma labbaik.. Lontaran suara ribuan malah jutaan para-para pencinta di hadapan Kaabah yang mulia itu membentuk satu pembesar suara yang tidak ada tandingannya yang  seolah-olah mampu menembusi lapisan-lapisan langit.. Aku teringat akan formula yang dinamakan keberkatan putaran Kaabah atau lebih mesra dipanggil konsep melawan jam (anti clockwise) dipraktikan didalam masakan mampu menghasilkan masakan yang lebih sedap dan sempurna masakannya.. Walaupun dikatakan ia sebenarnya kelogikan fizik apabila sesuatu yang bergerak melawan jam itu menghasilkan tolakan dari sumber tarikan bawahnya.. Tapi tidak melebih-lebih jika ada orang mengatakan konsep melawan jam ini adalah SunnatALLAH kerana jika dikaji dengan teliti setiap dari ciptaanNya itu memiliki konsep yang barkah ini seperti, peredaran darah di dalam badan, putaran bumi, putaran semesta, dan juga ianya digunakan untuk ibadah ketika bertawaf keliling Kaabah di Tanah Suci..
اللهم صلِّ على سيدنا محمد ما اتَّصَلَتِ العُيُونُ بِالنَظَر
وتَزَخرَفَتِ الأَرَضُونَ بِالمَطَر, وحَجَّ حاجٌّ وَاعتَمَر
وَلَبَّى وَحَلَقَ وَنَحَر
وَطَافَ بِبَيتِ العَتِيق وَقَبَّلَ الحَجَر
وعلى آلِهِ وصَحبِهِ وسَلِّم تَسلِيماً

No comments:

Post a Comment